Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim,
menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan
Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua
kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba
ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka
Rasulullah menjawab : "Maukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup
meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab
lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulang ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang
yang jahat. Kegemarannya
hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk
agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab
itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu
berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak
meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong
untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat.
Apakah jawaban kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau
berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala
pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada
Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku
bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh
Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah
yang sangat berharga."
Setelah dia berjuang dengan hawa
nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang
kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak
baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup
seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga akhirnya dia telah
berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar