Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad
Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah,
menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah
S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah
engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!",
lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai
akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan
yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak
Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya
yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak
menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang
bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata,
"Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100
tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang
bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata,
"Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100
tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan
berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah
maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah
sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu
itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi
musnah.